Friday, December 11, 2009

Zakat emas perhiasan, apa dalil dan hujahnya?


Ada orang yang mengaji fikah, mungkin mempertikaikan kenapa LZS mengenakan zakat ke atas emas yang dipakai. Bukankah ada ulamak fikah yang membolehkannya bahkan pandangan yang kuat daripada Mazhab Syafie juga tidak mewajibkan zakat ke atas emas yang dijadikan perhiasan wanita.
Nah! Mari kita telusuri perkara berikut.

Persoalan di atas adalah dia antara soalan yang agak popular di kalangan muslimah. Mereka mempunyai anggapan bahawa emas perhiasan yang dipakai di tubuh mereka langsung tidak payah diambil kira dalam taksiran zakat. Jika saya memberikan jawapan, maka saya selalunya mengambil pendekatan mudah. Jawapan saya: “Dalam Islam, Islam sememangnya meraikan fitrah dan naluri wanita yang inginkan perhiasan. Wanita dan emas sudah sebati. Mana ada orang perempuan yang tak gemarkan perhiasan.
“Namun begitu, Islam juga mahu agar dalam berhias agar tidak terlalu melampau dan membawa kepada berlebih-lebihan. Maka itulah, di Selangor kita menggunakan kaedah emas yang dipakai wajib dizakatkan apabila ia melebihi daripada kadar kebiasaan pemakaian atau dipanggil ‘uruf’. Uruf ni pula berbeza-besa mengikut negeri. Di Selangor urufnya berdasarkan berat, iaitu 800 gram emas. Maknanya, jika ada orang perempuan yang memakai emas melebihi 800 gram, maka wajiblah zakat ke atas emas yang dipakai itu.”
Ramai juga yang terkeliru, apakah maksud dipakai? Mestikah dipakai emas itu sepanjang masa, yakni sepanjang tahun agar ia menjadi cukup hawl?

Jawapan saya: “Jika puan-puan pakai emas itu sepanjang masa, bayangkanlah…800 gram emas, hampir sekilo beratnya. Maka, bayangkanlah betapa beratnya jika ia tersangkut pada tubuh badan kita. Mahu melelong jika berjalan.
“Sebenarnya, yang dimaksudkan dengan dipakai itu ialah, emas berkenaan dipakai walaupun hanya sekali dalam tempoh setahun. Namun, sekali itu ialah pemakaian yang menepati maksud pakailah. Bukan main ambil cincin atau subang, sarung kejap, ketik kejap kat telinga lepas tu buka balik. Itu bukannya pakai. Maksud pakai ialah kadar biasa dipakai. Mungkin ada orang pakai sejam sebab nak pergi kenduri, lepas tu buka balik. Itu pun dikira emas yang dipakailah.”

Sebenarnya para pembaca budiman sekalian, memang ada dua pendapat di kalangan ulamak mengenai zakat emas perhiasan yang dipakai ini. Antum boleh rujuklah dalam mana-mana kitab fikah yang banyak ada di perpustakaan itu. Di sini saya cadangkan satu, iaitu Kitab Ensaiklopedia Fiqh Wanita (Puasa dan Zakat) karangan Dr Abd al-Karim Zaidan atau dalam edisi Arabnya al-Mufasshal fi ahkam al-Mar’ah wa al-bayt al-Muslim fi al-Syari’ah al-Islamiyyah (mak aih…panjangnya tajuk kitab), terbitan Mu’assasah ar-Risalah, Beirut, Syria.
Kitab ini menarik kerana ia membahaskan hukum seputar zakat berdasarkan kepelbagaian mazhab fikah, tak tertakluk kepada as-Syafie sahaja. Pada Jilid Ke-2 kitab ini, ada dibahaskan: ‘Adakah perhiasan yang digunakan oleh wanita tidak wajib dizakatkan?’
Sesungguhnya perbezaan pendapat dalam bab perhiasan wanita yang dipakai ini dapat kita rujuk kepada dua pendapat.
Pertama, pandangan yang mewajibkannya yang dikeluarkan oleh Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Amr bin ‘Ash, Sa’id bin al-Musayyab, Sa’id bin Jabir, ‘Atha’, Mujahid dan lain-lain lagi. Mazhab Hanafi, Zahiri dan Zaidiyah juga menyokong pendapat ini.
Kedua, pendapat yang mengatakan emas yang dipakai sebagai perhiasan maka tak wajib zakat ke atasnya, sebagaimana yang dikeluarkan oleh ‘Abdullah bin Umar, ‘Aisyah, jabir bin Abdullah, Anas bin Malik, Asma’ binti Abu Bakr dan beberapa orang lagi. Mazhab Maliki, Hanbali dan pendapat yang ketara daripada Syafie dan Ja’fariyyah juga mendokong pendapat kedua ni.

Mari kita lihat, apa dalil pendapat pertama.
1. Mereka menyandarkan kepada firman Allah SWT di dalam at-taubah ayat 34: “…dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka seksa yang pedih.”
2. Juga daripada sabda Nabi SAW: “Keluarkanlah zakat harta kekayaan kamu sekalian agar menjadi bersih jiwamu.”
3. Perhiasan wanita adalah lebihan daripada keperluan asasi.
4. Juga pelbagai dalil daripada al-hadis yang lain yang mana kesimpulannya, emas dan perak yang dijadikan perhiasan adalah lebih awla untuk dizakatkan.

Manakala pendapat kedua pula membawakan hujah-hujah:
1.Hadis Nabi SAW: “Tiada zakat dalam perhiasan.”
2.Riwayat ‘Aisyah dan anak saudaranya yang tidak mengeluarkan zakat daripada perhiasan.
3.Perhiasan untuk wanita adalah dibolehkan agama untuk wanita maka ia tidak wajib dizakatkan sebagaimana lembu yang digunakan untuk berladang tidak dikenakan zakat ternakan (atas illah ia bukan harta yang berkembang – an-nama’).
4. Juga beberapa pandangan sahabat yang lain.

Kesimpulan oleh Dr Abdul Karim Zaidan, beliau sebenarnya lebih cenderung kepada pandangan kedua, iaitu tidak dikenakan zakat ke atas emas atau perak yang dijadikan perhiasan wanita. Ini kerana, beliau berpandangan:
1. Demi kelestarian perkahwinan, maka wanita perlu menjaga penampilannya dan berhias adalah satu tuntutan. Termasuklah dalam hak memakai emas ini demi sentiasa menambat hati si suami.
2. Untuk mendorong wanita berhias ialah apabila zakat tidak dikenakan pada emas yang mereka pakai, jika dikenakan juga zakat, maka hilanglah keghairahan mereka untuk berhias bagi mendokong perkara 1 di atas.

Kesimpulan saya pula yang tak berapa pandai ni, sebab itulah di Malaysia khususnya kita menggunakan kaedah MELEBIHI URUF baharu diwajibkan zakat. Ini kerana, jika si wanita sekadar memakai emas perhiasan yang tidak melebihi uruf, maka itu adalah biasa. Sekadar sebentuk dua cincin di jari tangan, seurat dua rantai di leher, dua pasang anting-anting…masih dianggap biasa. Tetapi jika sudah sampai ada peti khas, sampai dah tak ingat yang mana satu sudah dipakai yang mana belum dipakai, itu sudah masuk bab berlebih-lebihan dan bagi saya, wajarlah dizakatkan. Hal ini selaras dengan firman Allah di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 219:
“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang LEBIH dari keperluan.” Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.”

Wallahua’lam.

sumber: e-zakat.com.my